Sign by Danasoft - Get Your Free Sign

Followers

Perkongsian Di Makkah Al-Mukarramah...

Sunday 27 June 2010





Di atas Jabal Rahmah



Kaabah, Lambang penyatuan umat islam







Alhamdulillah sekali lagi saya diberi peluang oleh Allah S.W.T, dengan kurniaan sedikit masa lapang ini untuk perkongsian dengan pembaca-pembaca sepiperantau.

Ya..InsyaAllah, seperti yang telah dijanjikan, hari ini saya akan menyambung entri saya ketika melakukan umrah baru-baru ini.

Kalau sebelum ni saya berkongsi tentang ujian pertama yang saya terima di madinah, kali ini dengan izinNYA, saya ingin berkongsi pengalaman saya di Makkah Al-Mukarramah pula.

Sangat bersyukur dapat menjejakkan kaki di Makkah, tempat kelahiran Junjungan kita. Nabi Muhammad S.A.W.

Tempat pertama islam diwahyukan kepada Nabi Muhammad.

Tempat terletak Kaabah yang menjadi lambang penyatuan umat islam.

Tempat bermulanya penyeksaan dan pemulauan pertama kepada Nabi dan sahabatnya.

Ya..Saya dapat menjejakkan kaki di sini.

Seperti dapat merasai segala-segalanya.

Alhamdulillah, syukur padaMu Ya Allah kerana memberi saya peluang.
Dan saya suka kongsikan apakah yang saya dapat daripada singgahan saya di Makkah kali ini.

Baik apa yang saya lihat, baik apa yang saya dengar, baik apa yang saya lalui.

Semestinya tidak mampu saya kongsikan semua.

InsyaAllah, sedikit, namun pasti bermakna.





Kali Pertama Memakai Ihram

Perjalanan dari Madinah ke tempat Miqat Zulhulaifah memakan masa lebih kurang 10 minit.

Zulhulaifah atau dikenali sebagai Bi'r Ali ialah kawasan yang jaraknya kira-kira 425 kilometer dari Makkah atau kira-kira 10 kilometer dari Masjid Nabawi merupakan tempat Miqat untuk penduduk Madinah.

Di Miqat kita mengikhlaskan niat, merasakan bahwa kita sebagai tetamu Allah yang terpilih.

Juga memahami bahawa miqat adalah pembatas antara tanah halal dan haram, mandi untuk berihram, memasang niat berihram dengan mengucapkan "لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ بِحَجَّةٍ" kemudian membaca talbiyah dengan mengangkat suara yang berisikan tauhid kepada Allah:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَ شَرَيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَ النِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيَكَ لَكَ


Di tempat Miqat ini jugalah merupakan tempat memakai ihram.

Untuk orang yang sudah ada pengalaman memang tiada masalah untuk memakai ihram.

Namun untuk orang yang kali pertama seperti saya agak kekok kerana tiada pendedahan dan praktikal untuk memakai kain ihram.

Ditambah pula dengan suara-suara dan cerita-cerita abang 'senior' yang menakutkan.


"Nanti pakai ihram baik-baik, sebab tahun lepas ada seorang pakcik tu terlucut kain ihramnya betul-betul depan ana."

"Bila pakai kain ihram ada skill duduknya, nanti terselak rezeki orang pula..jaga-jaga."


Tetapi, Alhamdulillah mujurlah saya akhirnya berjaya memakai kain ihram dengan jayanya tanpa ada kejadian yang menakutkan.

Syukur pada Tuhan.

Maka bermulalah batas pantang larang yang ditetapkan dalam ihram ke atas saya.





Sempat bergambar....






Lambaian Kaabah di Depan Mata..



Perjalanan ke Makkah daripada Madinah yang jaraknya kira-kira 425 kilometer seperti tidak dirasai.

Walaupun berlaku sedikit masalah ketika dalam perjalanan seperti penyaman udara bas tidak berfungsi dan penukaran tayar bas yang hampir meletup, namun semua itu tidak mengganggu konsentrasi kami untuk melakukan ibadah umrah.

Perjalanan di tengah-tengah padang pasir yang kosong menyebabkan mata makin mengantuk.

Tidak ada apa yang yang menarik perhatian.

Cuma kadang-kadang agak lucu melihat gelagat sahabat-sahabat yang seperti teruja melihat unta-unta bertebaran di atas tanah.

Barangkali tidak sama unta Jordan dengan unta Saudi...

Setelah beberapa lama, akhirnya kami sampai juga ke tanah haram, Makkah Al-Mukarramah. Kami dibawa-bawa bersiar-siar di bumi haram ini. Sempat kami singgah di Mina, Arafah, gua hira', malah sempat juga bergambar-gambar di Jabal Ar-Rahmah yang menjadi tempat pertemuan Adam dan hawa. Ziarah ini sangat banyak memberi pengajaran kepada kami.

Setelah check in hotel, kami diberi masa 2 jam untuk berehat dan khidmat diri. Terasa dua jam yang diberi terlalu lama untuk saya. Apa tidaknya, tidak sabar-sabar lagi hendak menjejakkan kaki di Masjidil Haram yang menjadi tumpuan umat islam sejak 1431 tahun dahulu. Tempat yang mana telah mengukir sejarahnya yang tersendiri sejak beribu-ribu tahun dahulu.

Akhirnya masa yang telah dijanjikan telah tiba, kami sama-sama pergi menuju ke Masjidil Haram yang terletak lebih kurang 600 Meter dari hotel kami. Suasana sekeliling Makkah kali ini agak berdebu disebabkan projek pembinaan naiktaraf kawasan Masjidil Haram. Semua hotel-hotel yang kurang bintangnya dirobohkan untuk memberi peluang pembinaan hotel yang bertaraf berbintang-bintang. Barangkali suatu hari nanti, harga untuk melakukan umrah dan haji juga ber'bintang-bintang' harganya.

Sampai sahaja di depan pintu King Fahd yang merupakan salah satu daripada berpuluh-puluh pintu masjidil haram ini, cepat-cepat dihafalnya nama pintu ini. Pernah juga terdengar cerita seorang yang bercakap besar dan akhirnya sesat di dalam masjid ini selama tiga hari. Siapa sangka, semuanya kuasa tuhan..

Selepas membaca doa masuk masjid, saya memulakan langkahan kanan masuk ke dalam masjid. Tiba-tiba, satu perasaan yang tidak disangka-sangka meresap ke hati. Perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.Terasa sebak yang teramat sangat melihat lambaian kaabah yang berwarna hitam, betul-betul di hadapan saya.

Kalau sebelum ini, Kaabah yang menjadi kiblat kepada semua umat islam di muka bumi ini hanya dapat melihat melalui kaca televisyen dan di laman maya sahaja, hari ini saya berpeluang melihat Kaabah dengan mata saya sendiri. Alangkahnya terasa bertuahnya dipilih menjadi tetamu Allah pada umur semuda ini.

"Allahuakbar...Allahuakbar...Allahuakbar..."


YA Allah... aku sangat bersyukur padamu....




air Zamzam di mudah didapati di dalam Masjidil Haram





Peristiwa di Quday


Pengalaman di Quday adalah antara pengalaman yang saya kira sangat-sangat memberi pengajaran kepada saya.

Kalau dulu saya dengar orang kata, kamu akan diuji kesabaran di bumi Al-Haram. Maka pengalaman di Quday inilah yang sebenarnya antara titik ujian kesabaran kepada kami di sini.

Quday, sebenarnya satu tempat yang mana kerajaan saudi salurkan air Zamzam untuk memudahkan para jamaah haji dan umrah, dan juga penduduk di sekitar untuk mendapatkan air Zamzam.

Kalau dulu, para jamaah boleh mendapatkan air Zamzam ini terus dari tingkat bawah Masjidil Haram. Namun, barangkali disebabkan untuk mengurangkan kesesakan dan mungkin untuk memberi ruang keselesaan kepada para jamaah, maka kerajaan Arab Saudi mencari alternatif lain menjadikan Quday sebagai tempat pengambilan khas air Zamzam.

"Pastikan dalam setengah jam lagi kita semua berada di hafilah ye, sebab nak ke Quday melihat manazir@suasana mengambil air zamzam", tegas ustaz Husin di dalam mesej.

Dengan semangat berkobar-kobar, saya cepat-cepat menuju ke bas. Ya, bukan senang hendak mencari peluang sebegini yang sememangnya sangat rugi untuk disia-siakan.Perjalanan yang sekejap menuju ke Quday seperti tidak dirasai.

Siapa sangka apabila sampai di Quday, apa yang dapat dilihat, cumalah indah khabar daripada rupa. Kelihatan sangat ramai orang yang beratur untuk mendapatkan air yang berasal daripada mata air syurga ini. Ramainya orang yang beratur ini saya anggarkan mungkin lebih 50 meter, di bawah panas terik sang mentari, dengan membawa tong air 40 liter di tangan.Ujian kali ini saya kira sangat menguji kesabaran.

Tetapi Alhamdulillah, setelah berjam-jam bersusah payah akhirnya tugas yang diberikan berjaya diselesaikan. Itupun setelah terpaksa bersabar dengan kerenah arab yang sangat suka memotong barisan. Barangkali lebih 50 orang yang memotong barisan kami, namun apalah daya, bersabarlah jalannya. Inilah yang dinamakan ujian untuk menguji kami di sini.

Namun sebenarnya, jika dilihat kembali ujian yang Allah berikan ini sangat-sangatlah kecil jika hendak dibandingkan dengan ujian-ujian yang diberikan kepada Nabi dan sahabat-sahabat dahulu. Kalau tidak mana mungkin islam akan sampai kepada kita pada hari ini. Barangkali Allah ingin memberi kami merasai sedikit sahaja keperitan umat terdahulu supaya kami menjadi lebih bersyukur di atas nikmat yang Allah kurniakan sekarang.

Moga Allah menggolongkan kita daripada hamba-hambaNYA yang bersyukur....amiin....





itu dia sahabat-sahabat yang cekal beratur...




gembiranya mereka saat ini...







p/s : InsyaAllah masih banyak perkongsian di Makkah yang ingin dikongsi. Kuliyah universiti juga akan bermula tidak lama lagi. Doakan kejayaan ana...

1 comments:

tepianmuara said...

Alhamdulillah, Allah izin kami mengambil air zam zam dengan mudah dekat dengan pintu marwa.

moga umrah kita diterima.

   

:: Menghitung Hari ::

About Me

My photo
Seorang penuntut ilmu di Mu'tah University, Mu'tah, Jordan. Tinggal di Bayt Bukhara, Mu'tah, Karak. Pernah belajar di KOSTAQ YT-Besut. Kemudian berpindah ke KOSTAQ YT-Dungun yang ditukar nama menjadi SM Imtiaz Dungun. Berhijrah ke SMA(A)SZA, Batu Burok, Kuala Terengganu sehingga sanawi tiga. Seterusnya, terbang ke Jordan dan sekarang sedang menyiapkan ijazah sarjana muda dalam bidang Usuluddin..

:: Sangat Dirindui ::

:: Sangat Dirindui ::

:: Ad-DuYyuF ::

free counters

suara peringatan..