Sign by Danasoft - Get Your Free Sign

Followers

Itu Mereka kata tentang Kita... Tapi KITA??

Monday 22 August 2011




Mereka kata...Kita ni pelajar Sekolah Agama Tapi Kita...Semakin malu mengaku hakikat itu...Mereka kata...Kita ni mejaga solat Tapi Kita...Kalau boleh nak buat masa paling hujung waktu Mereka kata...Kita ni boleh menjadi imam Tapi Kita... Bagi alasan " Eh ada orang yang lagi layak" Mereka kata...Kita ni tak kan mengumpat Tapi Kita...Pantang ada geng. Pasti bergosip Mereka kata...Kita ni calon suami yang soleh Tapi Kita...Layak ke gelaran soleh tu untuk kita? Mereka kata...Kita ni calon isteri yang solehah Tapi Kita...Layak ke gelaran solehah tu untuk kita? Mereka kata...Kita ni mathurat dijadikan amalan harian Tapi Kita...Mathurat tu ape ek? Mereka kata...Kita ni mengamalkan sunnahTapi Kita...Pekara yang wajib pun entah ke mana Mereka kata...Kita ni menutup aurat Tapi Kita...Mempersembahkan aurat menjadi kebanggan Mereka kata...Kita ni qiamullail dijadikan makanan mingguan Tapi Kita...Last buat pun time kat SMKA dulu Mereka kata... Kita ni kuat bersedekah Tapi Kita...Baik simpan buat belanja kekasih Mereka kata... Kita ni menjaga batasan pergaulan Tapi Kita...Bertepuk tampar dengan ajnabi menjadi kebiasaan Mereka kata...Kita ni banyak menghafaz Al Quran Tapi Kita...As Sajdah masa exam PQS dulu pun entah ke mana Mereka kata...Kita ni sedap mata memandang Tapi Kita...Muka pun dah hilang nur dek kerana jarang berwudu’ Mereka kata...Kita ni membaca Al Quran dijadikan kelaziman Tapi Kita...Agak2 berapa kali seminggu kita baca?ke setahun skali sahaja? Mereka kata...Kita ni penuh ilmu agama di dada Tapi Kita...Sekarang kita bukan belajar agama dah. Tak perlu belajar agama!!!!


Di atas ni sedikit fenomena biasa dalam kalangan produk pelajar sekola agama. Sebaik sahaja melangkah keluar dari Sekolah yang dikatakan Agama yang dikurung SMK(A) maka sejajar dengan itu segala tarbiyah dan didikan dari Ustaz dan Ustazah kita abaikan. Kita tergolong dalam bekas pelajar yang ada sedikit fikrah agama. Tapi ada kalangan kita yang mencemarkan agama. Tak malukah kita melihat bekas pelajar sains, bekas pelajar sekolah harian biasa malahan bekas pelajar King Edward dan Methodist pun lebih menghayati agama dari kta yang bertitle “Budak sekolah agama”. Oh terlupa pula, kita hanya bekas sekolah agama. Tak perlu lagi menonjolkan ciri-ciri murni Islam dalam diri. Tapi ingatlah teman sekalian. sememangnya kita adalah bekas sekolah agama. Tapi kita bukan bekas beragama Islam. Kita masih beragama islam.


Tidak berdesing kah telinga kita mendengar “Ala..budak sekolah agama pun buat begitu dan begini” atau lebih menyakitkan apabila non muslim bercakap “I tengok budak sekolah agama pun macam tu. Patut la Islam ni teruk..”

Nah.. tahniah untuk kita semua yang berjaya menimbulkan fitnah besar kepada agama yang kita cintai ini. Islam yang tersebar dengan lelah dan keringat umat terdahulu kita cemarkan dengan akhlak “budak sekolah agama” kita tu.


Ingin atau tidak kita sememangnya memegang title tersebut. Bukan kita sahaja. Ramai lagi kawan2 kita dari aliran yang sama BERUNTUNG dengan adanya title tersebut. Kita telah dijinakkan satu ketika dahulu dengan tarbiyah SMKA. Kenapa tidak sekarang kita kembali kepada kita yang dahulu? Jadikan title “budak sekolah agama” itu sebagai wasilah untuk kita memperbaiki diri kita yang dipenuhi dengan lumpur noda ini.


Artikel ini bukanlah dihadirkan atas dasar ingin mengumpat ataupun mengata. Tetapi cuma ingin memperkatakan apa yang harus dikata. Bukan juga niat untuk menyatakan SEMUA produk SMKA itu tidak bagus. Mungkin perkara di atasa hanyalah semata kes yang anamoli. Tapi mungkin juga ianya telah ataupun akan menjadi kes yang major. Sekadar peringatan untuk diri ini dan rakan2 lain yang sudi untuk diperingatkan.


Bukan mengatakan untuk kita menjadi alim seperti ulama’ hebat, Bukan ingin mengatakan kita taat seperti malaikat. Tapi cukup lah menjadi umat sebenar-benar umat. Ingat kata2 ini “Andai tak mampu buat semua jangan tinggal semua” dan jangan sampai “MEREKA KATA kita adalah harapan agama TAPI KITA sebenarnya adalah sampah agama”


Salam Ramadhan Kareem.. Semoga madrasah Ramadhan ini akan mengembalikan zaman kegemilangan tarbiyah diri kita yang pernah muncul di susana SMK (A) satu ketika dahulu..

P/S : Mohon dipanjangkan artikel ini untuk kebaikan bersama di Bulan Mulia ini.

cerpen: Masin Manis di Mu'tah...

Tuesday 28 June 2011






Suasana dinihari yang dihiasi dengan kicauan burung amat menenangkan hatiku. Namun, aku tahu kedamaian pagi ini hanya sementara. Selang dua tiga detik lagi, kedamaian bumi Mu’tah ini akan ditenggelami pula dengan bunyi hon-hon kenderaan dan hiruk-piruk pasar.

Aku sering mengambil peluang pada waktu-waktu begini untuk mengisi masa dengan perkara yang memberi faedah buat diriku. Aku bangkit dari tempat tidurku lantas terus menghadap meja studi yang aku beli lebih kurang setengah tahun yang lalu. Aku membelinya daripada seorang graduan pada semester yang lalu.Ya, memang sudah menjadi kelaziman bagi kami pelajar baru akan membeli barangan musta’mal (terpakai) daripada senior-senior untuk menjimatkan kos perbelanjaan di sini. Kemudian aku pun mengambil buku Fiqh Muamalat untuk memulakan ulangkajiku.

Hari ini hari Jumaat. Hari cuti umum bagi seluruh kawasan Jordan. Sebagai seorang pelajar, hari cutilah saat-saat yang ditunggu-tunggu kerana waktunya terbuka luas untuk membuat apa sahaja. Ya, kadang-kadang aku letih menghadapi hari-hari biasa aku. Bangun pagi, pergi kelas, balik kelas, bersesak-sesak dalam coster(bas kecil untuk ulang alik ke universiti), makan roti sandwich falafel, dan bermacam-macam lagi , membuatkan aku terasa seperti berada dalam sebuah penjara. Ya, penjara Mu’tah.

Namun begitu di penjara inilah aku belajar erti kehidupan yang sebenar. Kalau Syed Qutub mampu menulis berjilid-jilid kitab tafsirnya ‘Fi Zilal Quran’ di dalam penjara, kalau Ibnu Taimiyah berkali-kali dimasukkan penjara kerana usahanya memurnikan ajaran islam, maka penjara Mu’tah inilah yang sebenarnya menjadi tempat tarbiyah untuk aku menjadi seorang hamba kepada Sang Pencipta. Kalau dulu aku dengar belajar ‘oversea’ memang suatu perkara yang menyeronokkan. Namun, kini aku mengerti bahawa di sana belajar bukanlah satu perkara yang kita boleh berseronok-seronok dengannya. Belajar ialah suatu perkara yang mesti dilakukan dengan kejuhudan dan kesabaran yang tinggi. Tanpanya, mana mungkin seorang ilmuan yang berkualiti mampu dihasilkan.

Kehidupan di perantauan tidak semudah kehidupan di tempat sendiri. Disini segala-galanya susah. Di sini untuk mendapatkan air untuk melakukan kerja harian pun tidak mudah. Air hanya naik ke tangki seminggu sekali pada hari Jumaat. Pada waktu itu lah aku dan ahli-ahli rumah yang lain bertungkus- lumus untuk menyiapkan segala kerja rumah seperti membersih rumah dan membasuh baju yang telah bertangguh selama seminggu. Selepas air berhenti naik ke tangki, terpaksalah kami berpada-pada menggunakan air untuk kegunaan seminggu selepas itu. Namun di sini aku belajar sesuatu. Bersyukurlah, kerana sekurang-kurangnya Allah tidak putuskan rahmatNya memberi nikmat kepada kita.

Di sini masih banyak lagi ujian-ujian yang terpaksa aku hadapi. Bermula dengan sistem pengurusan arab yang kurang sistematik, terpaksa beratur panjang untuk berurusan, berebut-rebut dengan arab, dilempar batu ketika pulang dari universiti oleh kanak-kanak arab yang nakal, dan bermacam-macam lagi mehnah dah tribulasi yang terpaksa dihadapi dengan penuh kesabaran. Jika tanpa azam yang kuat, pasti sudah lama aku membeli tiket dan terus pulang untuk menyambung pengajian di Malaysia. Namun begitu, pernahkah kita dengar hujan itu tidak turun selama-lamanya. Selepas hujan pasti ada pelangi yang indah akan menjelma. Di sebalik duka, pasti ada gembira. Di sini bukan segala-galanya susah, sukar dan mencabar. Di sini ada banyak perkara yang dapat dirasai yang tidak dapat dirasai di Malaysia. Kadang-kadang perkara-perkara inilah yang membuatkan aku terasa tidak ingin pulang ke Malaysia.

Antara perkara yang tidak sama di sini dan di Malaysia ialah musim. Di Jordan mempunyai empat musim iaitu musim bunga,musim luruh, musim panas dan musim sejuk. Kebiasaannya perkara yang ditunggu-tunggu oleh pelajar Malaysia ialah salji pada musim sejuk. Di Mu’tah, salji biasanya akan turun hampir setiap tahun kerana kedudukan geografinya yang berada di atas bukit. Nah! Bila turunnya salji, orang Malaysialah yang biasanya tidak sabar-sabar keluar rumah untuk membuat orang salji dan bergambar. Kadang-kadang orang arab pun pelik dan hairan melihat karenah-karenah orang Malaysia bermain salji yang seperti terjumpa emas permata gelagatnya.

Cuti semester ialah perkara yang aku tunggu-tunggu di sini. Hobi aku yang akan aku lakukan pada cuti semester biasanya ialah melancong. Di dalam Jordan saja ada bermacam-macam tempat yang boleh diziarahi dan dilawati. Jordan memang terkenal dengan tempat-tempat bersejarah yang menjadi tumpuan ramai manusia dari seluruh dunia seperti Ajlun,Jerash,Laut Mati, Wadi Rum, tempat peperangan Yarmouk, tempat peperangan Mu’tah dan bermacam-macam lagi. Malahan Di Jordan juga terdapat bekas salah sebuah daripada tujuh keajaiban dunia iatu Petra. Itu baru dalam Negara Jordan. Kalau di luar negara pula, pelajar Malaysia biasanya akan melancong ke Mesir, Syria, Lubnan, Turkey dan negara-negara Eropah. Satu perkara lagi yang tidak akan disia-siakan ialah peluang keemasan menjadi tetamu Allah di Al-Haramain kerana kosnya yang agak murah sekitar RM500 sahaja untuk umrah dan RM2000 untuk haji.

Dari sudut sebagai seorang pelajar syariah pula, aku berasa sangat beruntung kerana berpeluang untuk menuntut ilmu di sini. Di sini Bi’ah ilmunya masih lagi terasa. Di sini tempat lahirnya ramai ulama’ dan masih lagi kaya dengan kelas-kelas talaqqi oleh ulama’-ulama’ yang masyhur di dunia. Di sini jugalah tempat syahidnya ramai sahabat yang telah berjuang bermati-matian dalam mempertahankan kesucian agama islam. Nun darah mereka yang tertumpah di tanah ini sentiasa memberikan aku semangat dan motivasi baru untuk aku terus berjuang di sini. Sekalipun sukar, sekalipun dipenuhi onak dan duri, akan aku gagahi untuk menempuh segala-galanya agar tidak tewas untuk meneruskan perjuangan ini.

“Oit Afif! Apa yang enta termenungkan pagi-pagi ni.” Sergah housemate aku, Khairul Anuar dari belakang.

“Enta ni Nuar.. Buat ana terkejut je. Ana bukan termenung, cuma memberi taujihat kepada diri sendiri,”jawabku santai.

“Sudah-sudahlah termenung. Ayuh! Kita bersiap-siap untuk solat Jumaat pula.”

“Owh dah hampir Jumaat rupanya. Tak sedar masa berlalu.. Eh, hari ini giliran enta memasak bukan?” Tanyaku dengan nada bergurau.

“Enta ni.. Ana sudah masak kari kan semalam. Hari ini giliran enta la pula masak,” balas Anuar .

“Eh ye ke.. Ana gurau je la…huhu.. Erm…. Nak masak apa yer hari ini? sweer Sour okay tak?” Tanyaku.

“Eh, okay sangat la tu.. Ana rindu sangat ‘Sweet Sour Special’ enta tu.” Balas Anuar sambil tersenyum. Kemudian kami pun sama-sama ketawa.

Ya satu lagi kelebihan belajar di Jordan ialah semua orang di sini pandai memasak. Walaupun pada hakikatnya, dulu potong bawang pun tidak aku tahu. Tetapi sekarang Alhamdulillah bolehlah memasak ala-ala kadar. Seandainya tidak sampai aku ke Jordan, mana mungkin aku belajar semua ini. Sesungguhnya di Jordan ini masih banyak lagi permata-permata yang perlu di cari, asalkan di dalam hati ada dua benda yang tersemat, iaitu keinginan dan kesungguhan.












p/s: Cerpen ini ditulis untuk majalah PUTRA...so pe2 komen gtaw yer.... huu~

Musim yang berlalu...

Tuesday 31 May 2011







Musim yang berlalu



Hari-hari terasa sungguh cepat berlalu,

Baru semalam terasa angin bayu itu,

Bertiup lembut membelai kalbu,

Sejuknya masih lagi tersisa di jantungku…



Masih kuingat keindahan musim bunga itu,

Warna-warninya sungguh mengasyikkan mataku,

Baunya pula memberi cuitan deria bauku,

Jiwaku riang melompat menari tiada henti,

Tiada keresahan,

Tiada kebimbangan,

Tiada rasa yang mencengkam,

Yang ada hanyalah keindahan,

Kegembiraan,

Dan juga kebahagiaan…



Namun siapa sangka,

Dunia cepat berubah,

Musim bunga itu telah berlalu pergi,

Tiada lagi warna-warni yang kelihatan,

Musim sejuk ini sangat menyakitkan,

Sakitnya seperti mencengkam jiwa ini,

Tidak pernah terfikir ianya akan berlalu pergi,

Tidak pernah terbayang ianya akan berakhir,

Namun itulah yang berlaku,

Rindu musim itu,

Namun kenyataan tetaplah kenyataan,

Ianya tetap akan berlaku tidak kira cepat ataupun lambat,

Harap diri ini tabah hadapinya……..









Ditulis sepenuh hati.

31/5/2011

Bayt Bukhara, mu’tah..

PERMATA 2012, pilihanku populariti atau prestasi??

Monday 2 May 2011





Bahang pilihanraya untuk persatuan pelajar Malaysia di Jordan semakin membahang. PERMAI dengan kapasiti lebih 1000 ahli telah mendahului jejak langkah memilih pemimpin baru yang akan menerajui persatuan mereka untuk tempoh setahun yang mendatang. PERMATA juga pastinya akan bertukar tampuk pemerintahan. Saff 2010/2011 yang dikepalai oleh Ustaz Hussin pasti akan dibubarkan dan ditukarkan dengan muka baru yang masih segar dan bersemangat.

Tahniah diucapkan kepada barisan kepimpinan Ustaz Hussin yang telah berjaya membawa PERMATA ke arah yang lebih baik. Mereka telah menunaikan janji dan tanggungjawab yang terpikul. Beban taklifat yang dipikul sejak setahun yang lalu telah banyak memberikan pulangan pahala dan ganjaran yang tidak terhingga kepada mereka di sisi Allah.

Sebelum pilihanraya bertamu di kamar PERMATA, saya ada sedikit pandangan dan idea yang cuba untuk dikongsikan.

Konsep yang digunakan oleh PERMATA melalui JPR adalah melalui undi popular. Konsep ini tidak salah, namun ia hanya perlu dilengkap dengan sedikit pengubahsuaian. Populariti semata-mata tidak akan membawa manfaat optimum kepada PERMATA dan ahli. Populariti harus dikahwinkan dengan potensi calon untuk menduduki kerusi yang disediakan.

Ini bagi mengelakkan kita dari tersilap memilih calon yang popular, tapi tidak berpotensi untuk mengisi kerusi yang diberi. Maka, kita akan tergolong dalam golongan orang zalim kerana meletakkan sesuatu pada tempat yang salah. Dalam masa yang sama, calon itu juga turut dizalimi lantaran terpaksa memikul bebanan yang tidak mampu untuk dipikulnya.



KHALIFAH ALLAH

Manusia dicipta di muka bumi. Hidupnya bukan seperti pohon melata, tapi memikul urusan dan perintah yang Maha Esa. Allah menciptakan kita selaku penggantinya di muka bumi untuk mengurus dan mentadbir ahli bumi dengan syariat dan peraturan yang telah ditetapkan olehNya.

Pada pandangan saya, tidak salah jika saya katakan bahawa pemimpin yang kita pilih pada hari ini adalah khalifah kecil yang memikul peranan untuk menguruskan kita selaku ahli persatuan sepanjang keberadaan kita di Mu'tah dan Jordan.

Oleh itu, ciri-ciri utama yang amat perlu dipertimbangkan adalah ciri-ciri Hablun Minallah. Pertalian sesorang itu dengan Allah melalui ibadat yang terjaga, syakhsiyyah, adab dan akhlaq yang mulia. Dalam hal ini, saya rasa, tidak susah untu kita nilai, sejauh mana kompetensi seseorang dalam IBADAT, AMANAH dan SYAKHSIAH.

Manakala ciri yang kedua adalah ciri hablun minannas. Pertalian dengan pergaulan dengan manusia. Wilayah ini agak subjektif untuk dinilai. Namun, semudah bicara yang ringan untuk difahami, cukuplah kita mengenali resmi pergaulan dan kemesraan beliau dengan para ahli seperti kita. Konsep kepimpinan yang semakin mendapat perhatian pada hari ini adalah konsep Civil Society. Konsep yang cukup mementingkan ahli dan orang bawah. Konsep inilah yang diamalkan oleh Rasulullah dan Khulafa' Rasyidin. Nabi Sulaiman juga terkenal dengan ciri-ciri ini melalui kisah beliau dengan Hud-Hud. Sulaiman yang perkasa tidak membuta mata dari memerhatikan kehadiran Hud-Hud dan tidak juga memekakkan telinga dari mendengar hujahan Hud-Hud yang kecil.

Saya rasa, faktor ini juga cukup penting dalam sesebuah organisasi. Masakan tidak, seseorang yang ingin menguruskan organisasi mestilah mampu berhadapan dengan kerenah ratusan malah ribuan ahli. Justeru, ciri-ciri ini cukup penting dan perlu diteliti pada setiap calon yang ingin dipilih.



PENGIKUT MUSA ATAU PENGIKUT ISA?

Setelah kita jelas, bagaimana ciri pemimpin yang perlu kita pilih, maka ada baiknya kita tilik pula, bagaimana ciri-ciri pengikut yang perlu kita ikuti. Cerita yang masyhur dalam menilai pengikut adalah kisah dua Nabi Bani Israil, Musa dan Isa Alayhissalam.

Pengikut Musa pernah berkata, Pergilah dikau wahai Musa bersama dengan tuhanmu, dan berperanglah. Kami ingin duduk dan memerhati dari sini sahaja.

Manakala Hawariyyun, apabila Isa bertanya, siapakah yang ingin membantuku?

Jawab Hawariyyun, Kamilah yang akan memabntumu.

Sekian, selamat memilih ketua seperti Musa dan Isa, dan selamat bersifat seperti Hawariyyun.







credit to http://ilhamukmin.blogspot.com/

Hujan itu...

Sunday 10 April 2011

Hujan itu...


Hari ini guruh berdentum kuat,
aku termenung seorang,
bertaakul sebentar,
hari ini aku banyak memerhati,
pandangan yang benar-benar menyentuh kalbu ini..

Ya,
aku lihat ramai manusia,
mereka cuba bergerak keadapan,
dengan seluruh kudrat yang ada,
aku tahu sukarnya bagi mereka,
sekalipun terasa seperti memikul beban seberat gunung,
sekalipun dirasakan seperti meredah lautan padang pasir yang membahang,
tetapi mereka kuat,
bukan senang dan bukan mudah,
namun ada perkara yang menguatkan mereka,
ya..hakikatnya mereka sedar,
mereka tidak keseorangan,
ada yang mengetahui akan keperitan yang dirasai,
mereka yakin,
di sana ada Dia yang Maha Mengetahui..


Aku juga melihat ramai manusia,
mereka tersenyum riang,
namun jauh di sudut hati tiada yang sedari,
bahawa hakikatnya mereka sedang menangis,
kalau diikutnya hati ingin mereka meraung sekuat hati,
tidak mampu menyembunyikannya lagi,
peritnya luka di hati,
namun mereka ini cekal,
tetap tersenyum,
membuatkan orang lain juga turut tersenyum,
mereka tahu hujan itu terlalu lebat,
ditemani pula dengan selingan guruh dan kilat,
tetapi mereka juga tahu,
bahawa hujan itu tidak akan turun selama-lamanya,
pasti akan tiba masanya,
bila saat hujan itu akan berhenti,
malah dianugerahkan pula dengan pelangi yang indah,
ya..mereka yakin dan percaya,
saat indah itu pasti tiba,
kerana itulah suratan ilahi..


Aku berhenti bertaakul,
aku lihat pula akan diri ini,
bermuhasabah,
ya..aku juga mesti kuat,
mereka cuba bergerak dan melangkah sepenuh daya,
walaupun luka di dalam tiada siapa yang tahu,
mereka kata, masa itu mampu mengubati segalanya,
dan aku telah membuat keputusan,
sekalipun pedih,
sekalipun sukar,
sekalipun perit,
sekalipun jalan itu dipenuhi onak dan duri,
perjalanan ini mesti diteruskan,
aku percaya akan suratannya,
bahawa hujan itu pasti akan serik juga akhirnya.....





p/s : Dikarang dalam kelas nabatat td...huu~

Lagi sayang....Lagi diUji....

Monday 28 February 2011



"Abang, betul ke kalau Allah sayang kita, Dia akan uji kita dengan banyak ujian?" satu soalan singgah ke peti masuk mesej telefon saya.

"Macam mana kalau tak betul?"

Kepada adikku, inilah jawapan abangmu.

Adikku,

Apabila kamu persoalkan kasih sayang manusia kepada kamu, maka abang sangat berlapang dada bahawa manusia ini memang terlalu nipis lapis kasih dan sangat kecil pula kotak sayang yang mereka miliki. Banyak terjadi bayi kecil dibuang ke serata pelusuk yang tidak layak, para pemimpin pula sibuk mengeringkan tabungan rakyat laksana buaya lapar yang dahagakan mangsa.

Tetapi yang kamu persoalkan ini adalah kasih sayang Tuhan-Mu. Dia yang dengan jelas menyebut diri-Nya sebagai Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, di setiap surah di dalam Al-Qur'an. Adakah sejak abang ke sini lantas kamu juga meringankan tilawah yang wajib ini?

Jika benar, maka mari abang mengajakmu supaya kita sama-sama menyelak kembali lembaran suci yang setiap ayatnya membersihkan jiwa ini. Perhatikan, bahawa Allah telah memberi peringatan kepada kita dengan firman-Nya:

"Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa. Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman." [B](Surah Ar-Rum: 36-37)[/B]



[B]Ujian Kesempitan Adalah Hasil Kecuaianmu[/B]



Adikku,

Apakah rasamu mendengarkan ayat Alllah di atas? Tidakkah kamu melihat kesenangan dan kemudahan hidup sebagai ujian Allah, sama seperti kesempitan hidup yang kamu dakwakan sedang Allah timpakan kepada kamu sekarang?

Fikirkan juga wahai adikku, semua kesusahan yang kamu deritakan ini hanyalah [B]berpunca dari kelalaianmu sendiri.[/B] Kamu gagal mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaanmu, bukankah itu natijah dari kemalasan dan kekurangan strategimu dalam mengulangkaji pelajaran? Atau kamu masih angkuh menafikannya?

Kemudian, kamu sibuk mengatakan ummi asyik marahkan kamu, kawan-kawan pula gemar menaikkan darahmu, kenanglah semula wahai adikku. [B]Sejauh mana kamu berakhlak dengan mereka? Apakah kamu benar-benar berlaku adil dengan mereka?[/B] Bahkan sekalipun kamu sudah berakhlak sebaiknya dengan mereka, sepatutnya kamu ingat kepada baginda Nabi sebagai manusia yang luar biasa akhlaknya tetap juga dilukai manusia.

Namun, jika ujianmu benar terlalu berat, tiada apa yang dapat abang nasihatkanmu melainkan mengajakmu supaya sentiasa bersabar. Bersabar, bersabar, dan teruslah bersabar kerana untuk orang-orang yang bersabar, ganjarannya adalah seinfiniti pahala. Itu janji Tuhan. Bersabarlah kerana deritamu ini sangat sedikit berbanding kehidupan akhirat nanti. Adakah dapat kamu bayangkan kesusahan dunia sekitar empat, lima tahun, puluhan tahun sekalipun jika dibandingkan dengan kebahagiaan akhirat yang tahunnya tidak akan habis?

Hidup ini bukanlah selama-lamanya, bahkan bukan lama pun. Apabila kamu sudah merasai kehidupan, maka bersedialah pula untuk mati. Ingatlah kepada kematian, fikirkanlah tentang akhirat, kamu akan insaf nanti.



[B]Ujian Ini Nikmat Keimanan[/B]


Adikku, tidakkah kamu mengaku bahawa kamu ini orang beriman. Sedangkan jika benar, pastinya kamu pernah mendengar firman Allah ini,

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." [B](Surah Al-Ankabut: 3-4) [/B]

Sekarang, persoalkan dirimu sendiri, mana bukti keimananmu? Adakah layak kamu mengaku beriman kepada Allah, kepada rasul-Nya, sedangkan kamu tidak yakin bahawa ujian ini daripada-Nya untuk menguji keimananmu?

Para sahabat nabi, mereka membenarkan iman mereka dengan menyediakan leher-leher mereka di medan perang untuk mengembangkan Islam. Bahkan seluruh para tabiin, hidup mereka tiada keseronokan melainkan dalam keasyikan bersama ujian dan tarbiyah daripada Allah. Maka jika ini menjadi bukti keimanan mereka, [B]mengapa kita tidak sanggup membuktikan keimanan dengan menghadapi ujian hidup ini bersama kesabaran terhebat yang mampu kita persembahkan?[/B]



[B]Alangkah Baiknya Bahawa Yang Mengatur Adalah Allah[/B]



Adik, hidup kita semalam, pagi tadi, dan sekarang Allah yang atur. Malah kalau kita mati sekejap lagi, itu pun Allah yang atur. Bukankah sangat baiknya hidup kita ini yang mengaturnya adalah Allah?

Atau fikirmu bahawa kamu sendiri dapat mengaturkan hidupmu dengan cara yang kamu sendiri mahu? Urusan kebahagianmu kamu uruskan sepenuhnya, tanpa cahaya petunjuk daripada Allah. Begitukah yang kamu mahu?

Jika kamu menjawab tidak, [B]maka kembalikanlah keyakinanmu. Tuhan tidak mengujimu dengan sia-sia. Bahkan dia merancang untuk kamu kebaikan yang tidak dapat kamu bayangkan.[/B]

Pernah suatu hari Saiyidina Umar datang menghadap nabi dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu apabila dia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan, dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.

Lalu Rasulullah saw. bersabda: Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api? Para sahabat menjawab: Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya. Rasulullah saw. bersabda: [B]Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya.[/B]

Adik, ummi sayangkan kamu pun tidak sampai 0.001 peratus daripada Tuhan sayangkan kamu!













- [LINK=http://iluvislam.com/]Artikel iluvislam.com[/LINK]

Penjara Mu'tah

Thursday 6 January 2011



Aku seorang banduan
Di penjara tanpa kawat duri
Tiada pegawai dan pagar besi
Namanya aneh sekali;
Penjara Mu’tah.

Benar
Aku kini dipenjara
Aku kini terpenjara
Penjara sengsara
Tanpa bicara
Tiga tahun lamanya
Insya-Allah akan bebas semula.

Di sini
Aku dipaksa masuk bilik darjah
Setiap hari; seminggu lima hari
Aku dipaksa belek nota dan kitab
Jika tidak, lama lagi aku di sini
Aku dihasut 'belajar itu untuk ijazah'
Aku didesak cari gah dan markah
Nama biar terpampang di lauhah
Jawablah soalan nanti dipuji pensyarah
Mu’addal mestilah tinggi menerjah
Mari beradu tenaga siapa lebih gagah
Siapakah yang lebih rajin bermutalaah?

Di sini juga
Aku dikelilingi syaitan-syaitan
Syaitan berpakaian tetapi telanjang
Di kiri kanan; depan dan belakang
Syaitan berupa perempuan jalang
Pedihnya menahan mataku yang bujang!

Di sini juga
Aku dikawal ketat
Sembunyi-sembunyi menyelak kitab
Kitab-kitab yang aku gemari
Karangan asli ulama jauhari
Tanganku juga bagaikan tergari
Jari-jemari tidak bebas menari
Meluahkan rasa dari dalam diri
Menyusun kalam buat sahabat
Selepas ibu bapa insan terdekat,
Ummah dan umat manusia sejagat
Tangan-tangan ayuh saling berjabat
Mara ke depan jadi umat yang hebat
Kalimah Tuhan kita julang kufur kita tambat
Amerika kita terajang Israel kita rembat!

Aku masih terpenjara
Menunggu saat dibebaskan
Bebas merdeka dari penjara ini.










Sajak from Alkutawi.blogspot

   

:: Menghitung Hari ::

About Me

My photo
Seorang penuntut ilmu di Mu'tah University, Mu'tah, Jordan. Tinggal di Bayt Bukhara, Mu'tah, Karak. Pernah belajar di KOSTAQ YT-Besut. Kemudian berpindah ke KOSTAQ YT-Dungun yang ditukar nama menjadi SM Imtiaz Dungun. Berhijrah ke SMA(A)SZA, Batu Burok, Kuala Terengganu sehingga sanawi tiga. Seterusnya, terbang ke Jordan dan sekarang sedang menyiapkan ijazah sarjana muda dalam bidang Usuluddin..

:: Sangat Dirindui ::

:: Sangat Dirindui ::

:: Ad-DuYyuF ::

free counters

suara peringatan..