Sign by Danasoft - Get Your Free Sign

Followers

Perkongsian Di Makkah Al-Mukarramah...

Sunday 27 June 2010





Di atas Jabal Rahmah



Kaabah, Lambang penyatuan umat islam







Alhamdulillah sekali lagi saya diberi peluang oleh Allah S.W.T, dengan kurniaan sedikit masa lapang ini untuk perkongsian dengan pembaca-pembaca sepiperantau.

Ya..InsyaAllah, seperti yang telah dijanjikan, hari ini saya akan menyambung entri saya ketika melakukan umrah baru-baru ini.

Kalau sebelum ni saya berkongsi tentang ujian pertama yang saya terima di madinah, kali ini dengan izinNYA, saya ingin berkongsi pengalaman saya di Makkah Al-Mukarramah pula.

Sangat bersyukur dapat menjejakkan kaki di Makkah, tempat kelahiran Junjungan kita. Nabi Muhammad S.A.W.

Tempat pertama islam diwahyukan kepada Nabi Muhammad.

Tempat terletak Kaabah yang menjadi lambang penyatuan umat islam.

Tempat bermulanya penyeksaan dan pemulauan pertama kepada Nabi dan sahabatnya.

Ya..Saya dapat menjejakkan kaki di sini.

Seperti dapat merasai segala-segalanya.

Alhamdulillah, syukur padaMu Ya Allah kerana memberi saya peluang.
Dan saya suka kongsikan apakah yang saya dapat daripada singgahan saya di Makkah kali ini.

Baik apa yang saya lihat, baik apa yang saya dengar, baik apa yang saya lalui.

Semestinya tidak mampu saya kongsikan semua.

InsyaAllah, sedikit, namun pasti bermakna.





Kali Pertama Memakai Ihram

Perjalanan dari Madinah ke tempat Miqat Zulhulaifah memakan masa lebih kurang 10 minit.

Zulhulaifah atau dikenali sebagai Bi'r Ali ialah kawasan yang jaraknya kira-kira 425 kilometer dari Makkah atau kira-kira 10 kilometer dari Masjid Nabawi merupakan tempat Miqat untuk penduduk Madinah.

Di Miqat kita mengikhlaskan niat, merasakan bahwa kita sebagai tetamu Allah yang terpilih.

Juga memahami bahawa miqat adalah pembatas antara tanah halal dan haram, mandi untuk berihram, memasang niat berihram dengan mengucapkan "لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ بِحَجَّةٍ" kemudian membaca talbiyah dengan mengangkat suara yang berisikan tauhid kepada Allah:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَ شَرَيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَ النِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيَكَ لَكَ


Di tempat Miqat ini jugalah merupakan tempat memakai ihram.

Untuk orang yang sudah ada pengalaman memang tiada masalah untuk memakai ihram.

Namun untuk orang yang kali pertama seperti saya agak kekok kerana tiada pendedahan dan praktikal untuk memakai kain ihram.

Ditambah pula dengan suara-suara dan cerita-cerita abang 'senior' yang menakutkan.


"Nanti pakai ihram baik-baik, sebab tahun lepas ada seorang pakcik tu terlucut kain ihramnya betul-betul depan ana."

"Bila pakai kain ihram ada skill duduknya, nanti terselak rezeki orang pula..jaga-jaga."


Tetapi, Alhamdulillah mujurlah saya akhirnya berjaya memakai kain ihram dengan jayanya tanpa ada kejadian yang menakutkan.

Syukur pada Tuhan.

Maka bermulalah batas pantang larang yang ditetapkan dalam ihram ke atas saya.





Sempat bergambar....






Lambaian Kaabah di Depan Mata..



Perjalanan ke Makkah daripada Madinah yang jaraknya kira-kira 425 kilometer seperti tidak dirasai.

Walaupun berlaku sedikit masalah ketika dalam perjalanan seperti penyaman udara bas tidak berfungsi dan penukaran tayar bas yang hampir meletup, namun semua itu tidak mengganggu konsentrasi kami untuk melakukan ibadah umrah.

Perjalanan di tengah-tengah padang pasir yang kosong menyebabkan mata makin mengantuk.

Tidak ada apa yang yang menarik perhatian.

Cuma kadang-kadang agak lucu melihat gelagat sahabat-sahabat yang seperti teruja melihat unta-unta bertebaran di atas tanah.

Barangkali tidak sama unta Jordan dengan unta Saudi...

Setelah beberapa lama, akhirnya kami sampai juga ke tanah haram, Makkah Al-Mukarramah. Kami dibawa-bawa bersiar-siar di bumi haram ini. Sempat kami singgah di Mina, Arafah, gua hira', malah sempat juga bergambar-gambar di Jabal Ar-Rahmah yang menjadi tempat pertemuan Adam dan hawa. Ziarah ini sangat banyak memberi pengajaran kepada kami.

Setelah check in hotel, kami diberi masa 2 jam untuk berehat dan khidmat diri. Terasa dua jam yang diberi terlalu lama untuk saya. Apa tidaknya, tidak sabar-sabar lagi hendak menjejakkan kaki di Masjidil Haram yang menjadi tumpuan umat islam sejak 1431 tahun dahulu. Tempat yang mana telah mengukir sejarahnya yang tersendiri sejak beribu-ribu tahun dahulu.

Akhirnya masa yang telah dijanjikan telah tiba, kami sama-sama pergi menuju ke Masjidil Haram yang terletak lebih kurang 600 Meter dari hotel kami. Suasana sekeliling Makkah kali ini agak berdebu disebabkan projek pembinaan naiktaraf kawasan Masjidil Haram. Semua hotel-hotel yang kurang bintangnya dirobohkan untuk memberi peluang pembinaan hotel yang bertaraf berbintang-bintang. Barangkali suatu hari nanti, harga untuk melakukan umrah dan haji juga ber'bintang-bintang' harganya.

Sampai sahaja di depan pintu King Fahd yang merupakan salah satu daripada berpuluh-puluh pintu masjidil haram ini, cepat-cepat dihafalnya nama pintu ini. Pernah juga terdengar cerita seorang yang bercakap besar dan akhirnya sesat di dalam masjid ini selama tiga hari. Siapa sangka, semuanya kuasa tuhan..

Selepas membaca doa masuk masjid, saya memulakan langkahan kanan masuk ke dalam masjid. Tiba-tiba, satu perasaan yang tidak disangka-sangka meresap ke hati. Perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.Terasa sebak yang teramat sangat melihat lambaian kaabah yang berwarna hitam, betul-betul di hadapan saya.

Kalau sebelum ini, Kaabah yang menjadi kiblat kepada semua umat islam di muka bumi ini hanya dapat melihat melalui kaca televisyen dan di laman maya sahaja, hari ini saya berpeluang melihat Kaabah dengan mata saya sendiri. Alangkahnya terasa bertuahnya dipilih menjadi tetamu Allah pada umur semuda ini.

"Allahuakbar...Allahuakbar...Allahuakbar..."


YA Allah... aku sangat bersyukur padamu....




air Zamzam di mudah didapati di dalam Masjidil Haram





Peristiwa di Quday


Pengalaman di Quday adalah antara pengalaman yang saya kira sangat-sangat memberi pengajaran kepada saya.

Kalau dulu saya dengar orang kata, kamu akan diuji kesabaran di bumi Al-Haram. Maka pengalaman di Quday inilah yang sebenarnya antara titik ujian kesabaran kepada kami di sini.

Quday, sebenarnya satu tempat yang mana kerajaan saudi salurkan air Zamzam untuk memudahkan para jamaah haji dan umrah, dan juga penduduk di sekitar untuk mendapatkan air Zamzam.

Kalau dulu, para jamaah boleh mendapatkan air Zamzam ini terus dari tingkat bawah Masjidil Haram. Namun, barangkali disebabkan untuk mengurangkan kesesakan dan mungkin untuk memberi ruang keselesaan kepada para jamaah, maka kerajaan Arab Saudi mencari alternatif lain menjadikan Quday sebagai tempat pengambilan khas air Zamzam.

"Pastikan dalam setengah jam lagi kita semua berada di hafilah ye, sebab nak ke Quday melihat manazir@suasana mengambil air zamzam", tegas ustaz Husin di dalam mesej.

Dengan semangat berkobar-kobar, saya cepat-cepat menuju ke bas. Ya, bukan senang hendak mencari peluang sebegini yang sememangnya sangat rugi untuk disia-siakan.Perjalanan yang sekejap menuju ke Quday seperti tidak dirasai.

Siapa sangka apabila sampai di Quday, apa yang dapat dilihat, cumalah indah khabar daripada rupa. Kelihatan sangat ramai orang yang beratur untuk mendapatkan air yang berasal daripada mata air syurga ini. Ramainya orang yang beratur ini saya anggarkan mungkin lebih 50 meter, di bawah panas terik sang mentari, dengan membawa tong air 40 liter di tangan.Ujian kali ini saya kira sangat menguji kesabaran.

Tetapi Alhamdulillah, setelah berjam-jam bersusah payah akhirnya tugas yang diberikan berjaya diselesaikan. Itupun setelah terpaksa bersabar dengan kerenah arab yang sangat suka memotong barisan. Barangkali lebih 50 orang yang memotong barisan kami, namun apalah daya, bersabarlah jalannya. Inilah yang dinamakan ujian untuk menguji kami di sini.

Namun sebenarnya, jika dilihat kembali ujian yang Allah berikan ini sangat-sangatlah kecil jika hendak dibandingkan dengan ujian-ujian yang diberikan kepada Nabi dan sahabat-sahabat dahulu. Kalau tidak mana mungkin islam akan sampai kepada kita pada hari ini. Barangkali Allah ingin memberi kami merasai sedikit sahaja keperitan umat terdahulu supaya kami menjadi lebih bersyukur di atas nikmat yang Allah kurniakan sekarang.

Moga Allah menggolongkan kita daripada hamba-hambaNYA yang bersyukur....amiin....





itu dia sahabat-sahabat yang cekal beratur...




gembiranya mereka saat ini...







p/s : InsyaAllah masih banyak perkongsian di Makkah yang ingin dikongsi. Kuliyah universiti juga akan bermula tidak lama lagi. Doakan kejayaan ana...

::Ujian Pertama di Madinah Al-Munawwarah::

Sunday 20 June 2010

di hadapan masjid nabawi...








Alamdulillah hari ini saya mempunyai sedikit kesempatan untuk mengemaskini sepiperantau. Walaupun saya kira sudah terlalu lama saya tidak meringankan tangan meng'update' blog ini. Bukan kerana malas tetapi kesempitan masa yang sangat mencemburui.

Saya kira wajarlah saya meminta maaf dengan pelawat-pelawat blog yang kerdil ini dengan kelambatan menulis blog ini.

Saya benar-benar ralat dengan ini.


Namun dua minggu yang berlalu sebenarnya benar-benar telah memberi seribu makna dan erti dalam mencari erti hkikat seorang hamba. Terlalu banyak peristiwa yang berlaku yang boleh dikongsikan kali ini yang barangkali tidak mampu ditulis dalam satu post sahaja.

Sya kira semuanya bermula apabila Allah telah memilih saya menjadi tetamuNYA dalam menunaikan umrah pada tahun ini.

Alhamdulillah.... Semuanya berjalan lancar bemula dengan pemergian saya pada 10Jun yang lepas sehinggalah semalam 19 Jun saya selamat sampai ke mu'tah.

Syukur saya kepada Allah S.W.T kerana telah mengaturkan kehidupan dan perjalanannya dengan begitu cantik.

Perjalanan saya sekitar sembilan hari ke Makah dan Madinah benar-benar penuh dengan pengajaran.

agar menjadi penyuluh kepada perjalanan kehidupan seterusnya.



******








Dalam mengharungi kehidupan, sememangnya manusia akan bertemu dengan cabaran dan dugaan .Halangan demi halangan akn wujud untuk menguji insan.

Maka senjata bagi cabaran-cabaran ini cumalah kesabaran.

Perjalanan saya untuk menunaikan umrah kali ini juga dihiasi dengan cabaran-cabaran yang memerlukan kesabaran yang tinggi. Perjalanan pergi dengan menaiki bas selama hampir 24 jam sudah cukup menguji kesabaran. Ini masih lagi tidak termasuk penungguan di 'border' yang agak lama. Namun suara-suara sahabat yang tidak putus memberi nasihat menguatkan semangat untuk membuat ibadah umrah kali ini. Kata mereka, ini baru umrah, kalau haji barangkali semalaman menungggu baru dilepaskan.

Setelah sementara waktu, kami dilepaskan. Maka perjalanan ke destinasi pertama iaitu ke Madinah Al-Munawwarah diteruskan. Pemandangan di sekeliling cumalah bukit-bukit gersang dan lembah sahara' yang kering. tatkala itu terfikir bagaimana Rasululla suatu masa dahulu pernah berhijrah ke Mekah. Hijrah baginda dahulu bukan semudah sekarang yang hanya perlu dipejamkan mata sambil ditiup angin 'aircond' sepoi-sepoi. Tetapi terpaksa merentasi padang pasir yang membakar kulit... YA Allah... betapa tidak bersyukurnya saya...

Dengan izinNYA akhirnya kami berjaya menjejakkan kaki di Madinah lebih awal daripada waktu yang dijangka. Barangkali Allah hendak memberi peluang kepada kami untuk merasai sembahyang jumaat di Masjid Nabawi yang dijanjikan pahala berganda-ganda disini.

Selepas check in di dalam hotel, saya segera bergegas untuk ke Masjid Nabawi seawal 10 pagi. Sangkaan saya barangkali masih tidak ramai orang di masjid dan mungkin saya berpeluang sembahyang di Raudhah yang dijanjikan tempat yang dimakbulkan doa oleh nabi. Namun sangkaan itu meleset sama sekali kerana pada masa itu kawasan dalam masjid hampir penuh, apatah lagi kawasan raudhah yang saya kira sudah padat. Terasa kerugian di hati tatkala itu.


Hari pertama di Madinah benar-benar menguji kesabaran. Setelah selesai solat jumaat, saya bersama-sama kawan saya keluar untuk mencari sedikit alas perut. Semestinya mesin ATM yang kami cari untuk mengeluarkan duit Saudi. Tiba giliran saya, duit tidak dapat dikeluarkan dari bank. saya mula panik. Duit Dinar Jordan yang berada di tangan pun sangat sedikit. Berkali-kali saya mencuba untuk mengeluarkan duit, namun semuanya gagal. Saya berikhtiar untuk mengeluarkan duit daripda bank-bank lain. Hampir 5 buah bank yang berlainan telah dicuba, tetapi semunya tidak berjaya.

"Bagaimana nak makan?"

"Duit nak beli jubah nak ambil mana?"

"Nak beli kain ihram pun tak cukup?"


Semuanya bermain di fikiran masa itu. Saya bertanya kawan-kawan untuk meminjam duit mereka, namun selepas dikira-kira mereka juga bwa duit cukup-cukup untuk diri sendiri. Ya Allah.. paniknya pada masa itu hanya tuhan yang tahu. Saya cuba menenangkan diri. Cuba mengambil wudu' dan bersolat di masjid nabawi. Berdoa ke hadirat Ilahi untuk mencari jalan keluar. Perut yang lapar keletihan pada masa itu kerana berlari-lari mencari bank tadi bernyanyi kelaparan.

Tatkala keluar daripada masjid saya terserempak dengan seorang rakan seperjuangan yang bersama mencari bank tadi. katanya Alhamdulillah dia dapat keluar duit di bank. Pada masa itu Allah seperti meberi ilham untuk mengadu kepada keluarga. Mungkin ada jalan. Akhirnya Umi memberi cadangan supaya menggunakan bank kawan tadi untuk dimasukkan duit dari Malaysia. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan sngat-sangat bersyukur ke hadirat ilahi kerana telah memberi jalan keluar daripada ujian hari pertama ini...



Alhamdulillah pada malamnya Allah memberi peluang untuk bersolat di Raudhah.. Alhamdulillah...terasa ketenangan yang teramat...



Segala pujian hanyalah milikkmu....









p/s: InsyaAllah perkongsian di mekah pula akan disambung..

Perkongsian: Perang Nafas Panjang

Thursday 3 June 2010





Ledakan kesedaran apabila berlakunya serangan tentera Israel Zionis ke atas Konvoi Bantuan Kemanusiaan Flotilla, Lifeline4Gaza saya pandang sebagai ‘spark’ apabila dua batu api dilagakan.

Tinggal sekarang, siapakah yang hendak menggunakan ‘spark’ yang wujud itu, mencucuhkannya pada dedaun kering agar muncul api yang menyala, kemudian disogokkan pula api kecil itu dengan ranting kecil membuatkannya membesar dan kuat, seterusnya diberikan kayu yang lebih besar agar ia lebih marak, akhirnya diberikan kayu-kayu besar untuk menjadikan nyalaannya kekal?

Hari ini, 2 Jun 2010, tawanan yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel telah dibebaskan. Tawanan Malaysia seramai 12 orang telah berada di Amman, Jordan. Sempat saya bersembang dengan Ustaz Hasanuddin yang juga merupakan keluarga saya, ternyata keadaan mereka selamat dan semuanya dalam keadaan yang baik walau diceritakan bahawa mereka dilayan dengan kasar oleh askar Israel.

Tawanan telah selamat. Jerit laung sudah semakin surut. Sungguh, kita sinonim dengan menang sorak. Hakikatnya Israel tidak tewas dengan pelepasan tahanan. Gaza terus terluka. Islam terus dihina. Justeru tidakkah kita melihat bahawa kita perlukan kefahaman yang jelas agar kemenangan berpihak pada kita?

Sungguh, jika saya, saya melancarkan perang nafas panjang kepada mereka.


Perang Nafas Panjang

Pasti ada yang bertanya, apakah itu perang nafas panjang yang saya kata. Hakikatnya ia adalah satu perancangan rapi yang mesti digerakkan dengan konsisten, penuh keimanan dan kepercayaan kepada janji Allah, sabar dan istiqomah adalah perisai ketahanan, dan taqwa adalah bekalan perjalanan.

Perang Nafas Panjang bukanlah gerakan solo yang dilakukan perseorangan. Bukan juga tindakan-tindakan yang memberikan kesan sementara tidak bermakna. Tetapi ianya satu pergerakan bersistematik yang kesannya amat utuh tak mampu digegarkan semua.

Sungguh, ianya popular dikenali dengan nama lain.

Dakwah dan tarbiyah.

Itulah dia perang nafas panjang yang saya perkatakan.

Jahiliyyah dan perang nafas panjang mereka.

Kita melihat bahawa jahiliyyah yang dicanangkan oleh musuh-musuh Allah juga mempunyai sistem peperangan nafas panjang mereka. Kita melihat dengan lebih luas, betapa apa yang berlaku hari ini, apa yang ada di sekitar kita hari ini, adalah semuanya hasil perancangan yang telah mereka usahakan beratus tahun yang lepas.

Pemimpin-pemimpin dunia hari ini adalah produk didikan mereka. Suasana hari ini adalah acuan tangan mereka. Media hari ini adalah keluaran mereka. Hiburan, maksiat, dosa, semuanya diatur oleh mereka agar menjadi malakah(darah daging) dalam kehidupan kita. Mereka yang menyediakan itu dan ini, mengaturkan itu dan ini, agar kita terpenjara dalam ruang lingkup yang dikehendaki mereka.

Akhirnya, hari ini tiba. Mereka boleh menipu tanpa ada yang mampu bertindak terhadap mereka. Mereka mengawal ekonomi. Mereka mengawal suara pemimpin. Lihatlah betapa sikitnya yang ambil kisah dengan Islam dalam kehidupan mereka, lihatlah betapa sikitnya pula yang ambil kisah dengan Palestin sana, jangan dicerita pula betapa sikitnya yang berjuang di atas jalan Allah SWT.

Semuanya hasil perancangan mereka.

Adakah mereka mula menggerakkan perancangan mereka semalam?

Tidak.

Mereka telah bermula beratus tahun yang lampau.

Menang sorak sehari tak akan merubah apa-apa

Kita laknat mereka, kita doa kehancuran untuk mereka, tetapi kita tidak bergerak dalam arena perang nafas panjang, maka kita tidak akan mendapat apa-apa.

Hari ini mereka bebaskan orang ikut kehendak kita. Esok mereka bunuh lagi orang lain yang sama pentingnya, cuma mungkin kita tidak mengenalinya. Hari ini mereka berikan kita apa yang kita mahu, agar kita tambah alpa dan leka, rasa kemenangan sudah milik kita. Esok mereka gerakkan lagi perancangan yang lebih besar untuk memerangkap kita.

Hakikatnya, berapa ramai telah terbunuh di Palestin? Dari sebesar-besar sebuah negara, hingga tinggal wilayah Gaza sekangkang kera. Tidakkah orang Israel itu sentiasa berjaya? Sedang kita menang sorak sehari sahaja.

Kita kata itu dan ini, tetapi kehidupan tetap tidak berubah jua. Kita hanya lancang pada bicara, tetapi hidup tetap tidak kita ubah tatacaranya. Kita tetap hidup macam orang jahiliyyah hidup. Cuba soal semula diri kita, lihat kembali kehidupan kita. Apakah dari jahiliyyah yang telah kita korbankan dalam kehidupan kita? Bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT? Bagaimana pula hubungan kita dengan muslim lain di sekeliling kita?

Nyata, ummah tak akan diselamatkan oleh seorang hero.

Tetapi ia diselamatkan oleh satu generasi.

Rasulullah SAW dan para sahabat menjadi bukti akan hal ini.

Urgensi dakwah dan tarbiyah

Maka di sini kita perlu melihat kepada perang nafas panjang kita. Mungkin sahaja kejayaan itu tidak tiba hari ini, tetapi pastinya kalau kita menggerakkan agenda Perang Nafas Panjang ini, kita akan berjaya dalam satu jangka masa yang pasti.

Saya memberikan beberapa contoh perang nafas panjang yang telah berjalan.

1. Gerakan Dakwah Rasulullah SAW dan para sahabat. Walaupun hanya sempat berjalan selama 23 tahun sahaja, tetapi nilai gerakan da’wah atas dasar keimanan kepada Allah swt tetap terus berjalan hingga ke hari ini. Walaupun jasad Baginda telah tiada. Nilai 23 tahun hidupnya dakwah hingga ke hari ini masih dibicarakan, akhlak baginda, uslub dakwahnya, kaedah pemerintahan baginda. Hinggakan nama-nama para-para sahabat Nabi saw dijadikan nama anak-anak kita bg mengenang jiwa yang pernah hidup dan mencorak dunia hingga ke hari ini.

2. Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna. Ia ditubuhkan sekitar 80 tahun yang lepas. Kalau kita perhatikan, pengasasnya telah meninggal dunia lama dahulu. Tetapi hasil dakwah dan tarbiyah yang dijalankannya, kita dapat melihat dengan jelas betapa Ikhwanul Muslimin berperanan dalam menjana syu’ur Islam terhadap masyarakat hingga ke hari ini. Ikhwanul Muslimin telah melebarkan sayap ke seluruh dunia dan kini boleh dikatakan mempunyai pelbagai jenis persatuan yang terlahir mencontohi pergerakan Ikhwanul Muslimin. Ketua mereka telah meninggal dunia, tetapi mereka terus bergerak. Ahli-ahli mereka ramai dipenjara, tetapi mereka terus bergerak. Dakwah dan tarbiyah. Dakwah dan tarbiyah. Akhirnya mereka menghasilkan ramai peribadi-peribadi yang semuanya menajdi duta menyebarkan agama Allah SWT dalam bentuk yang jelas. Bila ia ditubuhkan? 80 tahun yang lalu. Bukan semalam

3. HAMAS. Ditubuhkan pada 1987. Sekitar 20 tahun yang lampau. Diasaskan oleh Syeikh Asy-Syahid Ahmad Yassin dan rakan-rakannya. Terhasil atas kesan daripada tarbiyah Ikhwanul Muslimin(lihat bagaimana dakwah dan tarbiyah itu menghasilkan kesan). Walaupun kelihatan ianya banyak berperang dengan senjata, tetapi HAMAS adalah satu pertubuhan dakwah dan tarbiyah juga. Mereka mengislah kehidupan masyarakat, menyebabkan masyarakat sangat cinta kepada mereka. Lebih dari itu, masyarakat bersatu dan berdiri di sisi mereka. Terlahir daripada tarbiyah mereka qudwah-qudwah yang menjadi ikutan dunia seperti Abd Aziz Rantisi, Yahya Ayyash, Khaled Mesyal. Kesan terbesar yang berjaya ditunjukkan adalah mereka memenangi pilihan raya walau baru pertama kali menyertai. Bahkan, segala kesukaran yang ditimpakan ke atas mereka tetap tidak menyebabkan rakyat meninggalkan mereka. Lihat. Bila ia ditubuhkan? 20 tahun yang lalu. Bukan semalam.

Apakah asas dua pertubuhan itu?

Dakwah dan tarbiyah. Ia membina kilang mereka sendiri, memproses manusia agar menjadi seperti mana yang Allah redhai. Manusia yang telah diproses ini pula memberikan kesan pula kepada manusia yang lain menyebabkan kewujudan manusia-manusia yang Allah redhai semakin banyak. Ia seakan satu sistem piramid, MLM, tetapi berani saya katakan ini adalah sistem MLM Ilahi yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dahulu.

Rasulullah SAW berdakwah kepada Abu Bakr RA, Abu Bakr RA pula mengajak Bilal bin Rabah, Uthman ibn Affan, Abdurrahman Ibn Auf, dan ramai lagi. Mereka yang ramai ini pula mengajak yang ramai lagi. Dan mereka mengikuti proses tarbiyah, mengislah kehidupan mereka, mengislah keimanan mereka, memantapkan kefahaman mereka, meningkatkan kesungguhan mereka terhadap ibadah dan menjadi seorang mukmin yang sebenarnya.

Dalam masa 23 tahun, Islam menjadi anutan seluruh jazirah arab. Dan tidak lama kemudian, menjadi pemerintah kepada 2/3 dunia. Sejarah telah merakamkan manusia-manusia seperti Umar Al-Khattab, Salahuddin Al-Ayubi, Muhammad Al-Fateh, Ilmuwan-ilmuwan Islam dan sebagainya yang dikagumi semua, ilmu-ilmu Islam yang advandce, wilayah-wilayah Islam yang jauh lebih maju, makmur dan aman.

Adakah ianya berlaku dalam masa sehari?

Tidak sama sekali. Ia telah digerakkan seawal hari pertama Rasulullah diutuskan. Dakwah dan tarbiyah.

Itulah dia perang nafas panjang, dan kita juga boleh melaksanakannya

Sewajibnya orang-orang yang beriman kepada Allah SWT memahami perkara ini dan melaksanakannya bermula kepada diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

Mulakan dengan mentarbiyah diri, kemudian berdakwahlah kepada ahli keluarga. Bina keluarga kita sebagaimana yang Allah redha, yang Allah mahu. Anak-anak kita yang soleh akan memberikan kesan kepada anak-anak orang lain di mana sahaja mereka berada. Isteri kita yang solehah dan terjaga akan menjadi model kepada wanita-wanita di sekelilingnya. Kita yang bersih akan menjadi contoh ikutan kepada semua. Keluarga kita yang bagus, baik akan menjadi qudwah kepada masyarakat.

Adik beradik, ayah ibu, abang kakak, semuanya kita usahakan.

Untuk pelajar bujang, bermula dengan diri, kemudian dengan rakan-rakan serumah, seterusnya rakan-rakan sekuliah.

Gerakkan dakwah dan tarbiyah. Pastikan ianya bergerak dengan konsisten. Bukan tembak dan lari. Tetapi pimpin dan bimbing. Kita bina bi’ah solehah di tengah badai jahiliyyah, menghasilkan satu perkara yang bernama uzlah syu’uriah tammah(pengasingan rasa secara total – orang lain suka jahiliyyah, kita di tengah mereka menggerakkan Islam – yang konsisten).

Jika musuh-musuh Allah menyebarkan suasana jahiliyyah, maka kita kena bina suasana solehah. Jika musuh-musuh Allah berikan hiburan jahiliyyah, maka kita kena masyhurkan hiburan yang menghidupkan jiwa. Jika musuh-musuh Allah membina pemimpin-pemimpin berotak taat mereka, kita membina pemimpin-pemimpin berotak taat kepada Allah.

Tetapi semestinya, membina bukanlah jalan yang sekejap. Ia memakan masa. Tetapi bagi yang percaya dan beriman kepadaNya, ini tetap akan digerakkan. Kerana inilah dia jalan kemenangan yang sebenarnya.

Inilah yang dilakukan mereka yang faham. Mereka inilah yang namanya bukan sekadar berdoa dan berharap. Bukan sekadar melaung dan menjerit. Mereka ini yang bukannya menang sorak sehari tetapi kemudian kalah berhari-hari.

Inilah dia orang-orang yang percaya. Yang yakin dan sabar dengan ujian-Nya.

Inilah dia, manusia yang akan menang pada akhirnya.

Perjalanan ini memang panjang. Tetapi kepanjangan itu, itulah yang terdekat dengan apa yang kita kehendaki – Redha Allah, keamanan hidup di dunia dan syurga di akhirat sana.

Perang nafas panjang, apakah kita telah melaksanakannya?

Perang Nafas Panjang membina aset

Rasulullah SAW tidak ada di atas muka bumi tika Islam menguasai 2/3 dunia. Yang menyaksikannya adalah aset kepada pewaris-pewaris yang telah dibina oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW membina sekelompok manusia di zamannya, sekelompok manusia itu membina pula manusia di zaman mereka, pergerakan ini berjalan dalam bentuk rantaian lantas menghasilkan hasil yang tiada siapa mampu menjangka.

Imam As-Syahid Hassan Al-Banna tidak ada di atas muka bumi tika Ikhwanul Muslimin telah tersebar ke merata dunia. Yang menyaksikan semua ini adalah aset kepada pewaris-pewaris yang telah dibina olehnya. Dia hanya membina sekelompok manusia sekelompok manusia itu membina pula manusia di zaman mereka, pergerakan ini berjalan dalam bentuk rantaian lantas menghasilkan hasil yang tiada siapa mampu menjangka.

Sheikh Asy-Syahid Ahmad Yassin tidak ada di atas muka bumi tika Hamas memenangi pilihanraya dan menguasai Gaza sebagai kerajaan yang legal. Yang menyaksikannya adalah aset kepada pewaris-pewaris yang telah dibina olehnya. Dia hanya membina sekelompok manusia di zamannya, sekelompok manusia itu membina pula manusia di zaman mereka, pergerakan ini berjalan dalam bentuk rantaian lantas menghasilkan hasil yang tiada siapa mampu menjangka.

Tinggal kita, apakah kita hendak percaya akan taktik Perang Nafas Panjang ini?

Sungguh, yang percaya dan mampu melaksanakannya hanyalah yang benar keimanannya kepada Dia.

Tidakkah anda teruja untuk menyertai kafilah syurga?

Penutup: Kalau benar serius, itulah dia jalannya

Perang Nafas Panjang tidak akan mampu dilaksanakan oleh orang yang tidak faham akan permasalahan Palestina yang sebenarnya. Idea ini juga tidak akan mampu ditangkap oleh orang yang tidak faham akan tujuannya berada di atas muka bumi Allah ini. Idea ini juga tidak akan mampu difahami oleh mereka yang tidak melihat Islam adalah cara hidup yang sebenarnya.

Dakwah dan tarbiyah, kalau benar serius untuk menewaskan Israel, menewaskan musuh-musuh Allah, maka itula dia jalannya.

Anda boleh kaji perjalanan Rasulullah SAW. Baginda hakikatnya mempunyai tiga pilihan di awal dakwahnya.

1. Baginda mempunyai pilihan untuk membuat revolusi. Baginda boleh kumpulkan rakyat-rakyat miskin, mereka yang tertindas, yang nyata merupakan majoriti dalam masyarakat, untuk menumbangkan terus Pemimpin Makkah dan mengambil alih tampuk pemerintahan, kemudian barulah menyebarkan kefahaman Islam mendidik rakyat. Tetapi Rasulullah tidak berbuat sedemikian.

2. Baginda mempunyai pilihan menerima tawaran menjadi Raja Arab apabila pemimpin Quraisy menawarkannya sedemikian sebagai ganti untuk tidak meneruskan dakwah da tarbiyah baginda. Baginda sepatutnya boleh sahaja menerima tawaran itu dan kemudian apabila telah menjadi raja, baginda sebarkan Islam. Kerana masyarakat arab memang akan mengikut rajanya. Tetapi Rasulullah tidak berbuat demikian.

3. Baginda bermula dari kosong, melaksanakan dakwah dan tarbiyah, mengajak hati-hati yang bersih dan membina mereka lalu tumbuh di tengah masyarakat jahiliyyah cahaya-cahaya petunjuk untuk kehidupan mereka. Tetapi cara ini sukar dan panjang. Namun kita lihat, Rasulullah memilih jalan ini.

Kenapa pilihan ketiga? Kenapa tidak yang pertama yang kedua?

Hal ini kerana, keimanan dan kefahaman itulah yang perlu diperkukuh fahamkan, ditanam kemas dalam kehidupan masyarakat, barulah masyarakat itu akan membentuk satu kesatuan menyokong kehidupan Islam dalam bentuk amalan bukan sekadar semangat. Bila keimanan dan kefahaman telah kukuh, barulah bila dibinanya kerajaan, rakyat akan menyokong penuh. Bila hendak digerakkan ketenteraan, kekuatannya berkali ganda utuh.

Apakah rahsia Islam bertahan menjadi pemerintah dunia selama 1400 tahun lebih?

Inilah dia. Perang Nafas Panjang. Dakwah dan Tarbiyah.

Jika benar hendak tewaskan musuh-musuh Allah, maka inilah dia caranya.



diambil drpd http://ms.langitilahi.com/

Agar semua beroleh pengajarannya....

   

:: Menghitung Hari ::

About Me

My photo
Seorang penuntut ilmu di Mu'tah University, Mu'tah, Jordan. Tinggal di Bayt Bukhara, Mu'tah, Karak. Pernah belajar di KOSTAQ YT-Besut. Kemudian berpindah ke KOSTAQ YT-Dungun yang ditukar nama menjadi SM Imtiaz Dungun. Berhijrah ke SMA(A)SZA, Batu Burok, Kuala Terengganu sehingga sanawi tiga. Seterusnya, terbang ke Jordan dan sekarang sedang menyiapkan ijazah sarjana muda dalam bidang Usuluddin..

:: Sangat Dirindui ::

:: Sangat Dirindui ::

:: Ad-DuYyuF ::

free counters

suara peringatan..