Sign by Danasoft - Get Your Free Sign

Followers

cerpen: Masin Manis di Mu'tah...

Tuesday, 28 June 2011






Suasana dinihari yang dihiasi dengan kicauan burung amat menenangkan hatiku. Namun, aku tahu kedamaian pagi ini hanya sementara. Selang dua tiga detik lagi, kedamaian bumi Mu’tah ini akan ditenggelami pula dengan bunyi hon-hon kenderaan dan hiruk-piruk pasar.

Aku sering mengambil peluang pada waktu-waktu begini untuk mengisi masa dengan perkara yang memberi faedah buat diriku. Aku bangkit dari tempat tidurku lantas terus menghadap meja studi yang aku beli lebih kurang setengah tahun yang lalu. Aku membelinya daripada seorang graduan pada semester yang lalu.Ya, memang sudah menjadi kelaziman bagi kami pelajar baru akan membeli barangan musta’mal (terpakai) daripada senior-senior untuk menjimatkan kos perbelanjaan di sini. Kemudian aku pun mengambil buku Fiqh Muamalat untuk memulakan ulangkajiku.

Hari ini hari Jumaat. Hari cuti umum bagi seluruh kawasan Jordan. Sebagai seorang pelajar, hari cutilah saat-saat yang ditunggu-tunggu kerana waktunya terbuka luas untuk membuat apa sahaja. Ya, kadang-kadang aku letih menghadapi hari-hari biasa aku. Bangun pagi, pergi kelas, balik kelas, bersesak-sesak dalam coster(bas kecil untuk ulang alik ke universiti), makan roti sandwich falafel, dan bermacam-macam lagi , membuatkan aku terasa seperti berada dalam sebuah penjara. Ya, penjara Mu’tah.

Namun begitu di penjara inilah aku belajar erti kehidupan yang sebenar. Kalau Syed Qutub mampu menulis berjilid-jilid kitab tafsirnya ‘Fi Zilal Quran’ di dalam penjara, kalau Ibnu Taimiyah berkali-kali dimasukkan penjara kerana usahanya memurnikan ajaran islam, maka penjara Mu’tah inilah yang sebenarnya menjadi tempat tarbiyah untuk aku menjadi seorang hamba kepada Sang Pencipta. Kalau dulu aku dengar belajar ‘oversea’ memang suatu perkara yang menyeronokkan. Namun, kini aku mengerti bahawa di sana belajar bukanlah satu perkara yang kita boleh berseronok-seronok dengannya. Belajar ialah suatu perkara yang mesti dilakukan dengan kejuhudan dan kesabaran yang tinggi. Tanpanya, mana mungkin seorang ilmuan yang berkualiti mampu dihasilkan.

Kehidupan di perantauan tidak semudah kehidupan di tempat sendiri. Disini segala-galanya susah. Di sini untuk mendapatkan air untuk melakukan kerja harian pun tidak mudah. Air hanya naik ke tangki seminggu sekali pada hari Jumaat. Pada waktu itu lah aku dan ahli-ahli rumah yang lain bertungkus- lumus untuk menyiapkan segala kerja rumah seperti membersih rumah dan membasuh baju yang telah bertangguh selama seminggu. Selepas air berhenti naik ke tangki, terpaksalah kami berpada-pada menggunakan air untuk kegunaan seminggu selepas itu. Namun di sini aku belajar sesuatu. Bersyukurlah, kerana sekurang-kurangnya Allah tidak putuskan rahmatNya memberi nikmat kepada kita.

Di sini masih banyak lagi ujian-ujian yang terpaksa aku hadapi. Bermula dengan sistem pengurusan arab yang kurang sistematik, terpaksa beratur panjang untuk berurusan, berebut-rebut dengan arab, dilempar batu ketika pulang dari universiti oleh kanak-kanak arab yang nakal, dan bermacam-macam lagi mehnah dah tribulasi yang terpaksa dihadapi dengan penuh kesabaran. Jika tanpa azam yang kuat, pasti sudah lama aku membeli tiket dan terus pulang untuk menyambung pengajian di Malaysia. Namun begitu, pernahkah kita dengar hujan itu tidak turun selama-lamanya. Selepas hujan pasti ada pelangi yang indah akan menjelma. Di sebalik duka, pasti ada gembira. Di sini bukan segala-galanya susah, sukar dan mencabar. Di sini ada banyak perkara yang dapat dirasai yang tidak dapat dirasai di Malaysia. Kadang-kadang perkara-perkara inilah yang membuatkan aku terasa tidak ingin pulang ke Malaysia.

Antara perkara yang tidak sama di sini dan di Malaysia ialah musim. Di Jordan mempunyai empat musim iaitu musim bunga,musim luruh, musim panas dan musim sejuk. Kebiasaannya perkara yang ditunggu-tunggu oleh pelajar Malaysia ialah salji pada musim sejuk. Di Mu’tah, salji biasanya akan turun hampir setiap tahun kerana kedudukan geografinya yang berada di atas bukit. Nah! Bila turunnya salji, orang Malaysialah yang biasanya tidak sabar-sabar keluar rumah untuk membuat orang salji dan bergambar. Kadang-kadang orang arab pun pelik dan hairan melihat karenah-karenah orang Malaysia bermain salji yang seperti terjumpa emas permata gelagatnya.

Cuti semester ialah perkara yang aku tunggu-tunggu di sini. Hobi aku yang akan aku lakukan pada cuti semester biasanya ialah melancong. Di dalam Jordan saja ada bermacam-macam tempat yang boleh diziarahi dan dilawati. Jordan memang terkenal dengan tempat-tempat bersejarah yang menjadi tumpuan ramai manusia dari seluruh dunia seperti Ajlun,Jerash,Laut Mati, Wadi Rum, tempat peperangan Yarmouk, tempat peperangan Mu’tah dan bermacam-macam lagi. Malahan Di Jordan juga terdapat bekas salah sebuah daripada tujuh keajaiban dunia iatu Petra. Itu baru dalam Negara Jordan. Kalau di luar negara pula, pelajar Malaysia biasanya akan melancong ke Mesir, Syria, Lubnan, Turkey dan negara-negara Eropah. Satu perkara lagi yang tidak akan disia-siakan ialah peluang keemasan menjadi tetamu Allah di Al-Haramain kerana kosnya yang agak murah sekitar RM500 sahaja untuk umrah dan RM2000 untuk haji.

Dari sudut sebagai seorang pelajar syariah pula, aku berasa sangat beruntung kerana berpeluang untuk menuntut ilmu di sini. Di sini Bi’ah ilmunya masih lagi terasa. Di sini tempat lahirnya ramai ulama’ dan masih lagi kaya dengan kelas-kelas talaqqi oleh ulama’-ulama’ yang masyhur di dunia. Di sini jugalah tempat syahidnya ramai sahabat yang telah berjuang bermati-matian dalam mempertahankan kesucian agama islam. Nun darah mereka yang tertumpah di tanah ini sentiasa memberikan aku semangat dan motivasi baru untuk aku terus berjuang di sini. Sekalipun sukar, sekalipun dipenuhi onak dan duri, akan aku gagahi untuk menempuh segala-galanya agar tidak tewas untuk meneruskan perjuangan ini.

“Oit Afif! Apa yang enta termenungkan pagi-pagi ni.” Sergah housemate aku, Khairul Anuar dari belakang.

“Enta ni Nuar.. Buat ana terkejut je. Ana bukan termenung, cuma memberi taujihat kepada diri sendiri,”jawabku santai.

“Sudah-sudahlah termenung. Ayuh! Kita bersiap-siap untuk solat Jumaat pula.”

“Owh dah hampir Jumaat rupanya. Tak sedar masa berlalu.. Eh, hari ini giliran enta memasak bukan?” Tanyaku dengan nada bergurau.

“Enta ni.. Ana sudah masak kari kan semalam. Hari ini giliran enta la pula masak,” balas Anuar .

“Eh ye ke.. Ana gurau je la…huhu.. Erm…. Nak masak apa yer hari ini? sweer Sour okay tak?” Tanyaku.

“Eh, okay sangat la tu.. Ana rindu sangat ‘Sweet Sour Special’ enta tu.” Balas Anuar sambil tersenyum. Kemudian kami pun sama-sama ketawa.

Ya satu lagi kelebihan belajar di Jordan ialah semua orang di sini pandai memasak. Walaupun pada hakikatnya, dulu potong bawang pun tidak aku tahu. Tetapi sekarang Alhamdulillah bolehlah memasak ala-ala kadar. Seandainya tidak sampai aku ke Jordan, mana mungkin aku belajar semua ini. Sesungguhnya di Jordan ini masih banyak lagi permata-permata yang perlu di cari, asalkan di dalam hati ada dua benda yang tersemat, iaitu keinginan dan kesungguhan.












p/s: Cerpen ini ditulis untuk majalah PUTRA...so pe2 komen gtaw yer.... huu~

   

:: Menghitung Hari ::

About Me

My photo
Seorang penuntut ilmu di Mu'tah University, Mu'tah, Jordan. Tinggal di Bayt Bukhara, Mu'tah, Karak. Pernah belajar di KOSTAQ YT-Besut. Kemudian berpindah ke KOSTAQ YT-Dungun yang ditukar nama menjadi SM Imtiaz Dungun. Berhijrah ke SMA(A)SZA, Batu Burok, Kuala Terengganu sehingga sanawi tiga. Seterusnya, terbang ke Jordan dan sekarang sedang menyiapkan ijazah sarjana muda dalam bidang Usuluddin..

:: Sangat Dirindui ::

:: Sangat Dirindui ::

:: Ad-DuYyuF ::

suara peringatan..